IPOH: Dua buah treler terbakar di Kilometer 257, Lebuh Raya PLUS arah selatan, sebelum Terowong Menora pada Ahad.

Kebakaran menyebabkan kesesakan lebih lapan kilometer, lebih-lebih lagi pengguna mula pulang ke ibu negara selepas cuti hujung minggu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.41 pagi.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat.

Anggota bomba menggunakan air dan buih untuk memadamkan kebakaran.

Ketika proses pemadaman, pihak Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membuat ‘mandatory exit’, menutup laluan ke selatan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Pengguna diarah membuat pusingan U berpatah ke Kuala Kangsar, seterusnya mengikut jalan lama untuk meneruskan perjalanan ke selatan.

Bagaimanapun, pihak PLUS akan membuka satu laluan ke selatan dengan mengambil satu lorong daripada laluan ke arah utara.