SLIM RIVER – Dua wanita berusia 22 dan 26 tahun antara 24 individu ditahan dalam Ops Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mualim, di sini awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 5 petang semalam hingga 5 pagi tadi itu dijalankan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk di sekitar daerah Mualim termasuk Felda Besout dan Trolak.

Pengarah AADK Negeri, Khairul Anwar Ahmad berkata, daripada jumlah ditahan, 15 individu berusia 18 hingga 46 tahun termasuk seorang wanita didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan awal air kencing.

“Hasil ujian saringan awal air kencing itu, pihak kami mendapati 12 orang termasuk seorang wanita positif dadah jenis morfin.Tiga daripada mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Operasi Perdana itu diketuai Pegawai AADK Daerah Mualim, Ahmad Khairi Ibrahim dan melibatkan 20 anggota.

Khairul Anwar berkata, kesemua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 Pindaan 1998.

-SinarHarian