IPOH – Ditipu ribuan ringgit, difitnah sehingga menjejaskan perniagaannya dan didakwa menghamilkan bekas teman wanita, seorang duda meminta wanita itu tampil di khalayak awam membuat permohonan maaf secara terbuka demi membersihkan namanya.

Tan Loi Fak, 54, yang merupakan seorang pengamal feng shui berkata dia terpaksa menanggung malu dan dibenci anaknya apabila bekas teman wanitanya bertindak memuat naik gambarnya dengan kapsyen berbaur penghinaan dan fitnah di media sosial Facebook awal bulan ini.

Loi Fak menyedari gambar dan namaya mula tular di media sosial melalui satu posting yang dimuat naik di akaun Facebook bernama ‘Wei Cho’ pada 1 Mac lalu.

“Pada posting itu ada gambar saya berserta kapsyen meminta orang ramai berhati-hati dengan saya kerana menurutnya saya ialah seorang sifu yang pandai menipu duit dan seks malah memaklumkan saya telah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk membuka sebuah tokong.

 “Sejak ia menjadi tular, tiada lagi pelanggan yang menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat feng shui.

“Saya mahu dia tampil memohon maaf secara terbuka sekaligus membersihkan nama dan mengembalikan reputasi perniagaan yang telah beroperasi lebih 20 tahun,” ujar beliau ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Taman Canning di sini, pagi tadi.

Tambah parah Loi Fak turut dicemuh ketiga-tiga anaknya yang menyifatkan ayahnya telah mengaibkan nama baik mereka.

Difahamkan dua orang anaknya kini sedang menetap di Singapura dan seorang lagi sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Loi Fak yang bekerja sendiri sebagai pakar feng shui mengakui mengenali wanita tersebut pada Oktober tahun lalu dan mula menjalinkan hubungan percintaan pada 25 Disember, tahun yang sama.

Mereka diperkenalkan oleh adik Loi Fak.

Sepanjang perkenalan, Loi Fak mengakui telah membelanjakan sejumlah wang kepada wanita yang berusia lingkungan 40an itu selain atas rasa simpati kerana wanitanya mempunyai seorang anak perempuan yang masih kecil.

Wanita yang bekerja sebagai seorang kerani itu mula menunjukkan sifat sebenarnya tidak lama kemudiannya menyebabkan Lai Fok mula tawar hati dengan teman wanitanya itu.

Hubungan mereka berakhir pada 15 Januari lalu.

Semenjak itu, Loi Fak berkata, dia mula menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur benci dan marah daripada wanita tersebut dan kemuncaknya gambar Loi Fak dimuat naik di Facebook.

Menurut Loi Fak kali terakhir dia berjumpa dengan wanita tersebut adalah ketika membuat laporan polis di Balai Polis Bercham di mana wanita tersebut turut hadir untuk memberi keterangan.

Katanya, bekas teman wanitanya mendakwa dia telah mengandungkan anaknya dan meminta wang untuk mengugurkan kandungannya itu namun, Loi Fak meragui dakwaannya itu.

Dia turut mendakwa wanita tersebut tidak pernah berkahwin serta mempunyai ramai teman lelaki sebelum ini.

Ketua Urus Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah yang ditemui berkata satu laporan polis telah dibuat pada 2 Mac 2018, di Balai Polis Bercham.

Ketika sidang media berlangsung, Mohd Rawi ada menghubungi wanita tersebut bagi memberi ruang membuat kenyataan balas namun wanita tersebut memberi alasan bahawa beliau sedang bekerja dan mengelak daripada memberi kenyataan balas.