IPOH: Kira-kira 100 rumah terjejas teruk dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di sekitar Kampung Seri Klebang dan Kampung Chepor di Ipoh pada Sabtu.

Kejadian berlaku sebelum waktu berbuka puasa, kira-kira jam 6.30 petang merosakkan bahagian atap selain terdapat beberapa rumah yang dihempap pokok.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,
anggaran kerugian yang dihadapi penduduk masih dalam siasatan dan kesemua mangsa telah membuat pendaftaran.

“Ini satu lagi dugaan bagi kita terutama sekali penduduk di sini yang sedang menjalani ibadah puasa, saya harap mereka semua dapat bersabar.

“Tentunya pihak kerajaan negeri tetap akan bantu, kita akan cari jalan bagi bantuan yang terbaik kepada mereka,” katanya ketika melawat tempat kejadian malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, setakat ini terdapat dua keluarga meminta dipindahkan kerana rumah mereka rosak teruk dan akan ditempatkan di inap desa (homestay) berhampiran.

Menurutnya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung, prosedur operasi standard (SOP) pemindahan mangsa akan diperketatkan dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan penjarakan sosial.

“SOP nya lebih kurang sama dengan yang kita buat untuk gelandangan di Arena Badminton di Kompleks Sukan MBI dan memang pihak NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat ada SOP begini.

“Walapun penularan wabak (COVID-19) dalam keadaan yang masih terkawal dengan baik dan tidak begitu membimbangkan, namun kita perlu perketatkan pergaulan, penjarakan sosial dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, pihaknya akan menyediakan bungkusan makanan untuk sahur kepada mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, bungkusan makanan akan diedarkan di rumah-rumah mangsa dan di pusat pemindahan yang mungkin dibuka.