JOHOR BAHRU: Sikap mudah simpati orang ramai diambil kesempatan oleh kumpulan pengemis bagi mencari rezeki di persimpangan lampu isyarat hingga mampu memperoleh RM300 setiap hari atau hampir RM10,000 sebulan.

Tindakan mereka berpindah lokasi dan hanya menjalankan kegiatan pada waktu tertentu menyebabkan kegiatan itu sukar dibanteras sepenuhnya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat, berkata golongan terbabit memilih untuk melakukan aktiviti pengemisan di lampu isyarat kerana mampu mendapat hasil lebih lumayan.

“Malah, lokasi berkenaan juga lebih mudah bagi mereka untuk melarikan diri jika terserempak dengan kenderaan penguat kuasa terutama ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

“Kami berharap orang ramai tidak mudah simpati kerana ia mendorong golongan berkenaan memilih jalan mudah bagi mendapatkan sumber kewangan dan terus bermaharajalela bebas menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.

Normawarni berkata, pihaknya menerima 10 aduan orang awam berkaitan aktiviti mengemis di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi di bandar raya itu sejak tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Berdasarkan aduan itu, katanya, JKM bertindak menyelamatkan pengemis terbabit, termasuk dua wanita Rohingya anggaran usia 30-an bersama empat kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 3 tahun serta seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) fizikal dari Vietnam.

Katanya, pihaknya turut menyelamatkan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 50-an dan 60-an.

“Tiga lelaki yang diselamatkan berstatus warganegara pernah melakukan kesalahan mengikut Akta Orang-Orang Papa 1977 pada 2016.

“Ketika itu mereka dibebaskan dengan amaran tidak melakukan kesalahan sama. Namun, berikutan masih mengulangi kesalahan, mereka dihantar ke institusi kebajikan bagi menjalani pemulihan yang sesuai pada tahun lalu,” katanya.

Normawarni berkata, mengikut siasatan dijalankan, mereka didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan berikutan masalah kewangan.

Katanya, ia termasuk tidak mempunyai pekerjaan tetap, ketagihan alkohol dan bekas penagih dadah.

Normawarni berkata, JKM tiada maklumat membuktikan bahawa kumpulan pengemis berkenaan dilindungi sindiket tertentu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan berkenaan aktiviti berkenaan di daerah Johor Bahru boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Johor Bahru di talian 07-2232606 atau melaporkan di Talian Nur di 15999,” katanya – berita harian