IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membayangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan bubar serentak dengan Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pembubaran DUN di semua negeri perlu dibuat memandangkan ia mempunyai tempoh tertentu dan bagi Perak, perkara itu masih belum dibincangkan secara terperinci.

“Saya kira bila tiba masanya kita tak boleh elakkan untuk DUN dibubarkan. Saya tak faham apa yang negeri-negeri lain katakan itu (tidak akan bubar DUN), kerana apabila tiba tempohnya kita mesti bubarkan DUN dan adakan pilihan raya.

“Jadi buat masa sekarang saya tak dapat lagi apa-apa pandangan daripada perdana menteri tentang perkara berkenaan (pembubaran Parlimen), maka kerajaan negeri berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas ditemui menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abd Latiff Ahmad di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Perak ketika ini lebih memberikan fokus kepada perkhidmatan untuk rakyat dan tidak terlalu memikirkan soal politik.

Katanya, usaha membangunkan negeri diberikan keutamaan berbanding isu-isu berkaitan politik.

“Perdana menteri memberi fokus kepada kita bagaimana mahu menghidupkan kembali ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kena cari jalan bantu rakyat dulu baharu bukan kita cari jalan nak kekalkan jawatan atau terus memerintah dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini beberapa negeri menyatakan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing sekiranya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU15.

Antara negeri yang tidak akan membubarkan DUN ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu. -SINAR