BATU GAJAH, 28 DIS: UMNO dijangkakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang.

Pengerusi UMNO bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din berkata, ini kerana kerusi tersebut merupakan kawasan tradisi milik UMNO sejak sekian lama.

“Berkenaan agihan kerusi DUN Sungai Rapat, setakat ini perbincangan masih dilaksanakan di peringkat negeri dan pusat.

“Tetapi jika kita lihat kembali sejarah DUN Sungai Rapat, ia sememangnya merupakan milik UMNO sejak dari awal lagi walaupun PAS pernah memenangi kerusi tersebut.

“Namun berdasarkan persetujuan awal yang dibuat bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN), kerusi tersebut akan diberikan kepada parti yang mendapat undi yang lebih banyak di kawasan tersebut pada PRU yang lalu.

“Jika dilihat kepada keputusan PRU ke-14, UMNO mendapat undi yang lebih tinggi berbanding PAS dan ianya cukup jelas bahawa kerusi DUN Sungai Rapat akan ditandingi oleh UMNO pada PRU 15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan watikah penyerahan kelulusan rumah percuma Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penerima di Kampung Tersusun di sini, hari ini.

Sementara itu, Hang Tuah berkata, UMNO Gopeng telah mula menggerakkan jenteranya bagi menghadapi PRU 15.

“UMNO Gopeng sedang menggerakkan jentera pilihan raya bermula beberapa bulan lalu dan beberapa program telah mula dijalankan secara berterusan.

“Kita tidak melaksanakan program hanya untuk pilihan raya, tetapi sebagai pemimpin, ianya merupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di sekitar Sungai Rapat dan Parlimen Gopeng amnya,” ujarnya.

Ketika mengulas berkenaan pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu, Hang Tuah mengucapkan tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad di atas pelantikan tersebut.

Katanya, sebagai seorang bekas pendidik, Saarani mempunyai sentuhan yang tersendiri untuk mendekati segenap lapisan masyarakat.

Selain itu, beliau turut menyifatkan Saarani sebagai seorang pemimpin yang prihatin dan peka terhadap nasib rakyat dan mudah untuk didekati.