IPOH: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic bimbang rehat panjang kancah Liga M menjejas momentum anak buahnya apabila saingan suku akhir Piala FA, bersambung minggu ini.

Ketika pasukan The Bos Gaurus sedang mendapat rentak yang menyaksikan mereka menang tiga perlawanan mengatasi Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor dalam saingan Piala FA dan Liga Super, kejohanan ditangguh untuk memberi peluang kepada pasukan kebangsaan beraksi dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Perak mula menunjuk taringnya dengan menyumbat sembilan gol dalam tiga perlawanan.

Bagaimanapun Durakovic bimbang tempoh penangguhan panjang itu menjejas persembahan pasukannya.

“Saya risau rentak pasukan Perak lari berikutan rehat terlalu lama.

“Persiapan kami juga terjejas kerana lima pemain dipanggil menyertai latihan pasukan kebangsaan.

“Saya tidak boleh buat apa-apa berikutan kekurangan pemain.

“Namun apakan daya kerana keutamaan perlu diberikan kepada pasukan kebangsaan,” katanya menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.