KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menuntut anak buahnya untuk tidak memandang mudah kemampuan PDRM walaupun lawan mereka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini masih bergelut di kedudukan tercorot Liga Super.

Sebaliknya, bekas pengendali Selangor itu menjelaskan dalam bola sepak tiada siapa yang boleh jangka apa yang akan berlaku sepanjang 90 minit permainan.

“Kami tidak mahu menjangkakan apa-apa. Kami kini hanya melakukan persiapan rapi untuk bertemu PDRM selepas menikmati kemenangan ke atas UiTM (minggu lalu),” katanya.

Kemenangan 1-0 ke atas UiTM di gelanggang sendiri, minggu lalu menyaksikan Perak mengumpul 11 mata selepas tujuh perlawanan, sementara PDRM yang tewas 1-2 kepada Pahang di Kuantan kekal di kedudukan tercorot dengan mata negatif satu.

Aksi berdepan Perak di gelanggang sendiri, malam ini juga boleh dianggap peluang terbaik buat anak buah Mohamad Ishak Kunju Mohamad keluar dari mata negatif.

Mengakui pasukannya berada di bawah tekanan, Mohamad Ishak bagaimanapun tetap meletakkan harapan buat anak buahnya melakar kejutan untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan dengan aksi musim ini hanya berbaki empat perlawanan.

“Baki empat perlawanan lagi, kami dibawah tekanan, tapi tak boleh kalah. Selepas ini ada (aksi menentang) Perak, Selangor, PJ City dan Terengganu FC, semua pasukan terbaik. Kami kena memberikan fokus untuk setiap perlawanan,” katanya.