Johor Bahru‘: Johor bersedia menyertakan sukan elektronik (e-sport) dalam Sukan Malaysia (SUKMA) menjelang 2020 sekiranya acara itu dikehendaki Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pihaknya bergantung kepada kehendak MSN sama ada mahu menyertakan acara itu atau sebaliknya.

Beliau berkata, sehingga kini sukan berkenaan tidak terdapat dalam acara SUKMA.

Menurutnya, menyedari sukan berkenaan digemari remaja pada masa kini, pihaknya bercadang untuk menjadikannya sebagai sukan pertunjukan sempena SUKMA 2020.

“Sekiranya MSN menyatakan ia sebagai suatu acara, kita ikut, bersiap sedia dan tiada masalah bagi melaksanakannya. Sebagai momentum dan menimba pengalaman, kita mengadakan perlawanan sukan elektronik bermula bulan ini dan berakhir Disember serta membabitkan penyertaan tiga negara termasuk negara ini, Singapura dan Brunei,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Sports Johor dan Consolewar.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor On Jabbar dan Pengarah Urusan Consolewar Nazirul Afiq Mohd Amin.

Mohd Khuzzan berkata, pihaknya menyasarkan 256 penyertaan bagi empat siri perlawanan dinamakan sebagai e-Sport Fifa19 Challenge.

Menurutnya, siri pertama bermula Sabtu ini di Galleria@Kotaraya, di sini, diikuti di Pasir Gudang, Muar dan kembali ke Johor Bahru.

Katanya, penganjuran sukan berkenaan menjadi langkah proaktif dalam mempromosi dan membangunkan sukan elektronik.

“Setakat jam 4 petang hari ini (semalam), kami menerima 280 penyertaan bagi perlawanan berkenaan dan ia menunjukkan sambutan amat menggalakkan.

“Hakikatnya, sukan elektronik juga menjadi kerjaya dan ada peserta termasuk rakyat negara ini pernah menerima pendapatan lumayan mencecah jutaan ringgit,” katanya – hmetro