SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) memandang serius terhadap kewujudan kolong rahsia di Ladang Laka Temin, Bukit Kayu Hitam di Kedah yang dijadikan laluan sindiket penyeludupan bagi melepasi pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) berhampiran.

Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca agensi yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal sempadan tidak menyedari wujudnya kolong itu.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyiasat mengapa tindakan sewajarnya tidak diambil jika kewujudan kolong itu sudah disedari.

Katanya, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, EAIC boleh memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Harian Metro.

“œEAIC juga akan menyiasat jika terdapat salah laku dalaman oleh agensi penguat kuasaan yang berkaitan sekali gus berharap semua agensi penguat kuasaan yang terbabit memandang serius akan perkara ini.

“EAIC akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan semua agensi penguat kuasaan yang terbabit dalam kawalan sempadan menjalankan fungsinya dengan penuh integriti, cekap dan tegas,” katanya dalam kenyataan kepada media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi kenyataan itu, beliau turut memuji usaha Skuad Khas Harian Metro membongkar kes terbabit, dan pendedahan berkaitan dengan ketirisan kawalan penguat kuasaan di sempadan yang mempunyai kesan ke atas keselamatan negara.

Berikutan itu, EAIC memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Seksyen Aduan EAIC di talian 03-8880 5651/5625/5627.

Laporan muka depan Harian Metro pada 25 Julai lalu bertajuk ‘Pintu’ rahsia seludup migran memaparkan keadaan sekitar Ladang Rakyat Laka Temin dan Kelab Golf Black Forest di sempadan Malaysia/Thailand agak lengang dan tiada pergerakan mencurigakan walaupun kawasan itu memang terkenal sebagai laluan utama memasuki negara ini secara haram selepas melepasi pintu pagar sempadan.

Namun, sebenarnya di sebalik tembok pagar batu setinggi dua meter dan pagar kawat setinggi tiga meter yang memagari kawasan berkenaan ada satu laluan rahsia yang digunakan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludup iaitu satu ‘kolong’ khas sepanjang hampir 20 meter yang menghubungkan kedua-dua kawasan.

Kolong itu adalah binaan longkang lebihan air banjir yang mengalir dari tasik di kelab golf berkenaan jika berlaku hujan lebat luar biasa dan sekitar kawasan berkenaan adalah berpagar serta orang ramai tidak boleh memasuki kawasan berkenaan pada bila-bila masa kerana selain berpagar ia juga bertembok batu – hmetro