Oleh:Nazialita Geynna Maharan


IPOH:
Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 101.2 gram dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis ketika membacakan keputusannya turut menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun ke atas tertuduh, S. Pragasam, 30, untuk satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 36.6 gram.

Dalam alasan kehakimannya, Anselm menjelaskan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah walaupun keterangannya berbeza dengan pembelaan.

Anselm turut mengecualikan hukuman sebat terhadap tertuduh selepas mengambil kira peruntukan Seksyen 289(b) Kanun Acara Jenayah yang melarang sebatan dikenakan ke atas pesalah yang dijatuhi hukuman gantung.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar 110.1 gram dadah berbahaya (101.2 gram heroin dan 8.9 gram monoacetylmorphines) di sebuah rumah di No. 127, Jalan Pengkalan Barat 32, Taman Puteri Lindungan Bulan, Pasir Puteh di sini pada pukul 7.30 malam 11 Mei 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki dadah seberat 36.6 gram methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2)(r) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan rotan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kedua-dua hukuman itu sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kenneth Oon Kork Chern manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Gill.

Tertuduh pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 23 Mei 2016 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Februari tahun lepas.

Pendakwaan telah memanggil enam saksi manakala tiga saksi termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada prosiding perbicaraan.