KUALA LUMPUR: Laporan Bank Dunia mengenai ‘21st Malaysia Economic Monitor – Making Ends Meet’ yang diterbitkan awal bulan ini mendapati Malaysia kini dirundung senario muram ekonomi global.

Sehubungan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihatkan kerajaan agar lebih tuntas dan tegas dalam memenuhi janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam membela mereka yang miskin dan terpinggir

Katanya, semua isu yang disentuh dalam laporan itu mampu ditangani dengan dasar ekonomi PH jika diberi fokus dan iltizam jitu untuk menanganinya kerana ia memberi kesan kepada rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Saya yakin keadaan lebih suram di kawasan kampung seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu serta di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dapatan dalam laporan ini sewajarnya meningkatkan kesedaran kita sebagai kerajaan pemerintah dalam menyelesaikan isu kos sara hidup, memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang munasabah serta program kebajikan untuk mereka yang terpinggir rentas kaum,” katanya dalam status Facebook (FB), di sini, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, berdasarkan laporan itu, nisbah tiga dalam sepuluh rakyat berasa kurang yakin dengan keupayaan mereka mendapatkan bekalan makanan.

“Laporan ini juga menyatakan harga rumah ternyata ‘parah’ dan ‘membimbangkan’ di banyak wilayah di Malaysia. Tambahan pula, kadar hutang tinggi dan kekurangan simpanan menambahkan lagi rasa gawat pada ramai rakyat,” katanya.

Anwar berkata, laporan itu termasuk yang dilaporkan Pelapor Khas PBB, Philip Alston beberapa bulan lalu, selari dengan pemerhatian dengan keluarga di Port Dickson dan di banyak kawasan lain di negara ini.

Katanya, laporan itu mencadangkan perlunya komunikasi berkesan berhubung kejayaan dicatatkan kerajaan PH, yang menjadi aspek penting meningkatkan keyakinan orang ramai, sekali gus memastikan kejayaan dasar berkaitan.

“Saya juga mengingatkan cadangan laporan Bank Dunia mengenai perhubungan dan komunikasi yang berkesan mengenai kejayaan kerajaan PH adalah aspek penting bagi membina keyakinan dan memastikan kejayaan dalam melaksanakan dasar yang diperkenalkan,” katanya.