AYER KEROH : Seorang eksekutif jualan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM500 bagi mengeluarkan sijil diploma palsu sebuah universiti swasta, awal tahun lalu.

C Vijayakumar, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menerima rasuah berjumlah RM500 daripada Muhamad Amir Safwan Rusli.

Ia sebagai upah mendapatkan sijil Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada sebuah universiti swasta atas nama Mohd Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, cawangan Melaka, Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, pada jam 4.39 petang, 19 Januari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam bela, Syed Amirul Syed Edros mewakili tertuduh.

Bagaimanapun, Mohd Nasir memutuskan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Shah Alam bagi sebutan semula bersama kes terdahulu, esok.

Pada 30 dan 31 Januari lalu, Vijayakumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Shah Alam serta Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan sijil palsu.

BH pada 4 April lalu melaporkan, tertuduh bersama seorang lagi individu, Mark Aaron Pious, 34, turut mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Shah Alam, berkaitan pertuduhan sama – Berita harian