IPOH: Elaun bulanan guru-guru I’dadi, Thanawi dan tadika Islam kerajaan negeri dinaikkan 10 peratus kepada RM1,100 mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka juga menikmati bantuan khas kewangan RM2,000 di samping imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir.

Menurut beliau, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat kebajikan warga pendidik dalam pendidikan Islam, sejumlah RM7.5 juta sebagai tambahan elaun guru 3,150 guru KAFA.

Di samping itu, bagi menghargai sumbangan 3,112 bilal dan siak di seluruh negeri, kerajaan juga memperuntukan RM11.2 juta, tambahan RM1.6 juta dibayar kepada mereka.

“Keseluruhan Bajet 2018 bagi perbelanjaan pengurusan di bawah portfolio agama Islam, pendidikan Islam dan pembangunan sahsiah berjumlah RM97.9 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, dakwaan kononnya kerajaan mengepikan kepentingan pendidikan agama dengan mengurangkan peruntukan sekolah menengah agama negeri (SMAN) adalah tidak benar.

Jelasnya, penurunan peruntukan di ketiga-tiga sekolah itu sebenarnya berpunca dari penyelarasan semula peruntukan perkhidmatan ikhtisas yang kini dipusatkan di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Ini dapat dilihat dengan peningkatan lebih RM697,000 peruntukan tersebut di bahagian pendidikan,.

“Langkah ini diambil untuk mengoptimumkan manfaat yang boleh diperolehi dengan mengadakan program-program berpusat untuk sekolah-sekolah di bawah kawalan bahagian pendidikan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Drs Nizar memberitahu, tahun ini juga, JAIPk turut dianugerahkan penarafan lima bintang pengurusan kewangan Jabatan Audit Negara.

Menurutnya, dengan penarafan itu membuktikan bahawa JAIPk telah berjaya mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik.

Katanya, kerajaan negeri melalui semua agensi agama sentiasa berusaha untuk mengambil tindakan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan agama di negeri ini.

Beliau memberitahu, JAIPk mempunyai tujuh bahagian iaitu bahagian khidmat pengurusan, pembangunan keluarga, dakwah, pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan masjid dan surau serta bahagian penyelidikan.

“Selain itu, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah berfungsi mengendalikan urusan agama di negeri ini mencakupi isu perundangan, pendidikan, dakwah, fatwa serta penguatkuasaan,” tambahnya.