IPOH: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket kegiatan ceti haram atau along selepas dipercayai menampar seorang pemilik kedai bingkai cermin, dalam dua serbuan berasingan di sini, lewat minggu lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Deputi Superintendan G Moses Govidarajoo berkata, empat suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu ditahan di sekitar Ipoh dan merupakan individu dikehendaki dalam kes sindiket ceti haram di Perak, Kedah dan Selangor.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 47 tahun pada 24 Julai lalu yang memaklumkan dia ditampar dan diugut oleh sekumpulan individu di rumahnya selepas gagal membuat bayaran hutang yang dipinjam daripada 11 along berjumlah RM67,000.

Katanya, pinjaman asal dibuat mangsa pada Mei lalu berjumlah antara RM1,000 dan RM5,000 namun meningkat kepada RM67,000 selepas dia terpaksa berhutang daripada 10 lagi along selepas gagal membayar kadar bunga yang ditetapkan oleh along pertama.

“Kadang-kadang mereka ini merupakan kumpulan ceti yang sama. Taktiknya ialah along pertama meminta mangsa membuat pinjaman dengan along lain untuk membayar pinjaman asal, kemudian ianya berlarutan sehingga jumlah pinjaman itu meningkat terlalu tinggi.

“Padahal mereka adalah dari kumpulan along yang sama. Sememangnya ini telah menjadi antara modus operandi yang lazim digunakan oleh along ini,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Isnin.

Tambah Moses Govidarajoo, sehubungan itu, pihaknya kini giat memburu saki baki kumpulan tersebut yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah beberapa barangan berkaitan kegiatan ceti haram seperti keping kad bank dan senarai nama peminjam, katanya.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga esok (Selasa) dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Beri Pinjaman Wang 1951,” katanya Moses Govidarajoo.