TELUK INTAN – Empat lelaki warga tempatan dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam Ops Sarang yang berakhir Sabtu lalu.

Ketua Polis daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar berkata, keempat-empat suspek tersebut adalah antara 26 suspek berusia antara 27 hingga 72 tahun yang ditahan dalam operasi lma hari itu.

“Keempat-empat suspek ini ditahan di dalam dua serbuan berasingan di mana tiga daripadanya yang berusia antara 32 hingga 42 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Sungai Nibong kira-kira jam 3 petang, 14 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa paket plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah heroin seberat 17 gram serta kanabis bersama sebuah alat penimbang elektronik,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Tambahnya, seorang lagi suspek yang juga penganggur berusia 48 tahun ditahan di sebuah rumah kosong di Taman Desa Aman, 15 Ogos lalu.

Katanya,  hasil pemeriksaan polis menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar dipercayai heroin serta methamphetamine bersama alat penimbang.

Kesemua suspek  ditahan reman sehingga 24 Ogos ini bagi  membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Mengenai Ops Sarang, Mohd Marzukhi berkata, pihaknya merampas heroin seberat 59.99 gram, methamphetamine 5.03 gram, daun ketum 70 kilogran dan kanabis 6.99 gram bernilai RM4,882 – sinar