KOTA KINABALU: Empat muka baharu dan lama disebut-sebut bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam dalam Parlimen Sepanggar yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sumber memberitahu BH, mereka adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Johnny Goh yang digugurkan pada PRU-13, dan seorang ahli majlis tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), manakala dua lagi ialah pemimpin PBS bahagian Inanam.

Difahamkan, Goh yang juga Presiden Persatuan Sino Kadazandusun Murut dan pernah menjadi wakil rakyat Inanam beberapa penggal sebelum digugurkan pada 2013, masih disenangi rakyat serta berpengaruh di kawasan berkenaan.

Tiga muka baharu pula adalah pemimpin PBS bahagian dan pusat yang dikatakan berminat untuk bertanding serta berkhidmat kepada rakyat, namun difahamkan belum ada keputusan mengenai pemilihan calon setakat ini.

Pada PRU-13, BN diwakili Joseph Paulus Lantip daripada PBS kalah kepada calon PKR, Dr Roland Chia Ming Shen, dengan majoriti 3,202 undi menerusi saingan tiga penjuru yang meliputi seorang lagi calon pembangkang, iaitu Datuk Eric Majimbun daripada Parti Maju Sabah (SAPP).

Sebelum PRU lalu, DUN Inanam dipertahankan BN menerusi Goh, iaitu pada 2008 dan 2004, manakala pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 1999, beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket PBS yang ketika itu di pihak pembangkang.

Pada PRU-14, BN dijangka berdepan beberapa calon pembangkang, termasuk dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Gabungan Sabah, selain Pakatan Harapan, khususnya calon PKR selaku penyandang kerusi DUN Inanam.

Beberapa nama pemimpin pembangkang disebut-sebut bakal mencuba nasib, termasuk bekas calon DAP pada PRU 2008, Jeffrey Kumit yang dijangka diicalonkan mewakili Gabungan Sabah.

Timbalan Ketua Bahagian PBS Inanam, Biniau Mabon, berkata BN berpeluang cerah menawan semula DUN Inanam berdasarkan pembangunan dibawa BN dan kegagalan pembangkang memajukan kawasan berkenaan.

“Dua projek besar sedang dan akan dilaksanakan di sini, iaitu pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Ranau dan jajaran Lebuhraya Pan Borneo merentasi pinggir bandar raya Kota Kinabalu bermula dari Kampung Pomotodon, Inanam hingga ke Kampung Keliangau, Manggatal.

“Jalan Telipok-Kiulu-Ranau yang menjadi laluan baharu menghubungkan Kota Kinabalu dengan Ranau, menggembirakan penduduk di kawasan hulu Telipok yang selama ini berdepan masalah perhubungan. Jajaran Lebuhraya Pan Borneo pula dapat mengatasi kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah besar di sini.

“Saya yakin komitmen kerajaan mengatasi masalah perhubungan, kesesakan dan pelbagai masalah lain di Inanam, meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.

“Rakyat di sini juga dapat melihat kegagalan pembangkang membawa pembangunan, dan ini sudah tentu mengurangkan minat mereka terhadap pambangkang,” katanya.-berita harian