IPOH: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat kawasan di Perak menunjukkan bacaan sederhana setakat jam 2 petang ini dengan Taiping mencatat bacaan tertinggi sejak letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera semalam.

IPU di Taiping mencatatkan bacaan 76; disusuli bacaan di Bandar Tasek, Ipoh (73); Pegoh, Ipoh (64); dan Seri Manjung (63).

Tanjung Malim pula mencatatkan bacaan baik, iaitu 45 berdasarkan jadual IPU dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar berdasarkan kemas kini dilakukan setiap jam.

Bacaan IPU yang dicatatkan 12 tengah malam tadi pula ialah 69 di Taiping, manakala Seri Manjung (62) dan Tanjung Malim (43).

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata asap debu gunung berapi Sinabung itu, dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri di utara serta timur Semenanjung, bermula malam tadi.

Jailan berkata, asap debu itu antara lain akan memasuki ruang udara Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sementara itu, peniaga restoran di Padang Rengas, Radin Ahmad Kusyairi Ramlan, 29, berkata impak daripada letusan gunung berapi itu tidak begitu dirasai, selain tidak menjejaskan aktiviti seharian.

Radin Ahmad Kusyairi berkata, suasana yang kelihatan sedikit berjerebu tidak begitu dirasai melainkan sekadar menjejaskan jarak penglihatan.

“Jarak penglihatan sebegini sering dilihat khususnya pada waktu panas terik dan mujurlah kira-kira 2 pagi tadi hujan sangat lebat sekali gus memungkinkan debu letusan semakin pudar,” katanya.