BATU KURAU: Empat peminat orkid tersesat di dalam hutan di Batu 23, Redang Panjang dekat sini, ketika mencari spesis bunga itu pada petang Ahad.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.14 malam.

“Kami terima maklumat daripada ketua operasi terdapat empat mangsa yang sesat di dalam hutan simpan semasa melakukan aktiviti mencari orkid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa berusia 71, bersama isterinya dan dua jiran mereka.

Katanya, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian telah membuat kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Mangsa berjaya dijumpai pada jam 12.35 pagi dalam jarak lima kilometer dari pusat kawalan bomba dan membawa mangsa keluar dari hutan tersebut,” ujarnya.

Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi bomba tamat pada jam 2.45 pagi.

Difahamkan, mangsa lelaki merupakan bekas pesara polis yang dikatakan peminat orkid hutan.