TAIPING- Niat empat penunggang motosikal yang ingin berteduh dari hujan lebat di bawah jejantas, bertukar tragedi apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (Km) 204.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan petang semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, kejadian yang berlaku pada jam 5.20 petang itu melibatkan sebuah Toyota Hilux dan empat buah motosikal.

Akibat dari kemalangan itu, empat orang mangsa yang merupakan penunggang motosikal mengalami kecederaan, dua daripadanya cedera parah dengan patah kaki dan peha manakala seorang lagi cedera di bahagian kepala.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux sedang memandu di lorong kiri lalu terbabas dan berpusing.

“Dalam masa yang sama melanggar empat orang penunggang motosikal yang berteduh daripada hujan lebat di bawah jejantas,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya lagi, akibat daripada kemalangan itu kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping bagi rawatan lanjut.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.