BATU GAJAH: Empat tangki menyimpan minyak diesel berukuran 1,000 liter terbakar di Kilang Yoong Steel, Industri Pengkalan 2 dekat sini pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.56 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi.

“Pihak bomba turut menerima bantuan daripada BBP Ipoh dan BBP Batu Gajah, bomba sukarela dari PBS Pekan Baru dan PBS Menglembu.

“Seramai 20 orang anggota terlibat dalam memadamkan kebakaran itu yang mengambil masa hampir tiga jam.

“Kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa,”katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian menggunakan dua aliran, 200 kaki tiga pancutan serta empat foam untuk kerja-kerja pemadaman.

Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.40 pagi.