BALIK PULAU: Padah membenarkan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya di atas jalan raya, empat waris di Balik Pulau, Pulau Pinang dikenakan tindakan saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tindakan saman diambil selepas aksi empat kanak-kanak yang berusia antara 10 dan 14 tahun yang menunggang dalam keadaan bahaya di Jalan Besar Balik Pulau berjaya dikesan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritenden A.A. Anbalagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggotanya terserempak dengan empat kanak-kanak terbabit yang sedang menunggang basikal dalam keadaan berbahaya.

Menurut beliau, anggota polis terbabit kemudiannya bertindak menahan mereka sebelum dibawa ke Balai Polis Balik Pulau untuk diambil keterangan.

Menurut Anbalagan pihaknya turut menghubungi semua waris kanak-kanak itu untuk diambil keterangan termasuk mengenakan saman ke atas mereka di bawah Kaedah 42 (1)(a) LN 166/59, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

Selain itu katanya, pihak polis turut menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah supaya hadir ke balai polis untuk tindakan pihak sekolah.

Menurut beliau, kesemua kanak-kanak itu kemudiannya dibebaskan setelah ibu bapa mereka hadir dan membayar saman.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya kanak-kanak supaya menghentikan segera aktiviti tersebut sebelum kecelakaan atau sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau turut meminta kerjasama ibu bapa dalam menjaga dan memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh membahayakan nyawa mereka serta penggguna jalan raya yang lain.