BAGAN DATUK: Enam bot pukat tunda tempatan tenggelam selepas dipukul ombak besar di kawasan 3.7 batu nautika dari muara Sungai Hutan Melintang, di sini semalam.

Bagaimanapun, 16 kru bot tersebut yang dipercayai warga Myanmar dilaporkan selamat.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Pasukan Polis Marin (PPM) pada jam 12.50 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Anggota mendapati semua kru bot nelayan berkenaan sudah diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada berhampiran lokasi.

“Setakat ini tiada kematian dilaporkan dan semua nelayan terbabit selamat.

“Enam bot nelayan itu masing-masing dikenalpasti keluar dari jeti di Sekinchan, Selangor, Bagan Datuk dan Hutan Melintang,”katanya pada Sabtu.

Ujarnya, kejadian dipercayai berlaku berikutan fenomena air pasang besar, hujan dan angin kuat seterusnya menyebabkan semua bot itu tenggelam.

“Nelayan perlu lebih berhati-hati dan memakai jaket keselamatan ketika menangkap ikan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku selain segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa,”katanya.

Sementara itu menurut Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri, pihaknya menerima maklumat semua nelayan terbabit selamat.

“Jabatan Perikanan berharap supaya komuniti nelayan lebih berhati-hati ketika berada di laut dan sentiasa mengikuti ramalan cuaca.

“Selain itu, yang lebih utama adalah memastikan alatan bantuan keselamatan sentiasa berada di atas bot,”katanya.