IPOH: Enam kesalahan utama lalulintas menyumbang lebih 60 peratus saman yang dikeluarkan pihak polis sepanjang lima hari pertama Ops Selamat Tahun Baru Cina yang bermula 18 Januari lalu.

Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, enam kesalahan itu menyumbang 77,042 daripada jumlah keseluruhan 125,464 saman.

“Ini menunjukkan kita amat serius kepada enam kesalahan ini yang kita buat kajian yang kita nampak memang boleh mendatangkan musibah kepada pengguna-pengguna lalulintas.

“Operasi ini kita akan laksanakan sehinggalah habisnya tempoh Ops Selamat dan kita akan teruskan di masa-masa, di hari-hari yang lain supaya menjadi satu mungkin boleh membantu kita dalam mengekang berlakunya kemalangan yang mungkin meningkat,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media di Ipoh pada Khamis selepas melakukan tinjauan udara dari Johor Bharu ke Terowong Menora.

Menurutnya, kesalahan memandu melebihi had laju mencatatkan 71,579 atau 57.1 peratus daripada jumlah saman yang dikeluarkan.

Ia diikuti kesalahan melanggar lampu isyarat (1,655), memotong barisan (1,497), menggunakan telefon bimbit (1,389), memotong di garisan berkembar (616) dan memandu di lorong kecemasan (306).

Mohd Nadzri berkata, sepanjang pemantauan udara yang dilakukan, belum berlaku kesesakan trafik di lebuh raya-lebuh raya utama di seluruh negara.

Beliau menjangkakan kesesakan mungkin berlaku mulai malam ini atau selepas waktu pejabat pada Jumaat kerana orang ramai mengambil peluang balik kampung sempena cuti panjang Tahun Baru Cina dan cuti sekolah.

Dalam pada itu, katanya, polis akan memperbanyakkan lagi operasi yang melibatkan motosikal bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan aktiviti yang tidak sihat seperti perlumbaan haram.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan, kemalangan melibatkan motosikal menyumbang antara 60 hingga 65 peratus daripada keseluruhan kemalangan yang berlaku, termasuk kemalangan maut.

“Kita telah arahkan supaya banyakkan operasi yang melibatkan motosikal dan dengan cara ini mungkin kita boleh kurangkan lagi kemalangan.

“Dengan adanya skuad 42 kita yang sentiasa mendapatkan maklumat di peringkat kontinjen dan juga di Bukit Aman dan kita akan laksanakan operasi tersebut,” ujarnya.

Katanya, tumpuan itu telah berjaya mengurangkan kes kematian akibat kemalangan motosikal daripada 57 orang pada lima hari pertama Op Selamat Tahun Baru Cina 2019 kepada 47 kematian tempoh yang sama tahun ini.