KUALA LUMPUR: Kapal layar mewah, Equanimity dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low Teck atau Jho Low yang didakwa dibeli daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dijual dalam masa tiga atau empat bulan jika tiada pihak menuntut pemilikan.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, kapal layar mewah itu boleh dijual melalui urus niaga yang telus walaupun proses perundangan berhubung skandal 1MDB masih berjalan.

Katanya, tidak ada mana-mana negara yang mahu menyimpan bot mewah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1 bilion.

“Ia (jualan) boleh dilakukan dalam masa tiga atau empat bulan,” katanya.

Tommy berkata, wang hasil jualan kapal itu akan dimasukkan dalam akaun tetap.

“Selanjutnya wang berkenaan akan diserahkan kepada pihak yang berjaya membuktikan pemilikan kapal terbabit dalam tuntutan sivil,” katanya.

Tommy berkata demikian melalui sesi khas pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 di sini hari ini.

Berhubung isu jet peribadi yang juga didakwa milik Jho Low yang dilaporkan akan dibawa pulang ke negara ini, Tommy berkata beliau belum mendengar apa-apa mengenainya – hmetro