KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima bulan ‘direhatkan’ di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) di Bukit Malut, Langkawi, kapal layar mewah, Equanimity akhirnya kembali membelah lautan dan kini berada di perairan Singapura.

Berdasarkan laman web pemantauan vesel dalam talian, kapal sepanjang 92 meter yang didaftarkan di Pulau Cayman itu memulakan pelayaran meninggalkan Langkawi, selepas ditempatkan sementara di pelabuhan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 1.09 tengah hari Ahad lalu.

Menerusi purata kelajuan sembilan knot, kapal layar dengan kemasan dalaman daripada marmar, selain kemudahan mewah seperti spa, sauna, kolam renang 20 meter, teater dan helipad itu tiba di pelabuhan mengisi bahan api Singapura, pada jam 7.08 pagi tadi.

Kapal itu kemudian meninggalkan pelabuhan terbabit dua jam berikutnya, untuk meneruskan pelayaran ke Changi dan dilaporkan tiba pada jam 10.12 pagi tadi.

Genting Malaysia Bhd pada 3 April lalu, mengesahkan pembelian kapal mewah Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada atas kapal itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pada 26 Mac 2019, ia membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah berkenaan di bawah proses Jualan Kehakiman, melalui jualan terus persendirian, menurut perintah dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut bidang kuasa Admiralti.

Genting Malaysia memaklumkan, pengambilalihan itu akan membezakannya daripada pesaing lain, selain memberikannya kelebihan unik serta berdaya saing untuk pelanggan premium perniagaan.

Bersandarkan rekod, Genting Malaysia yang terbabit dalam operasi perjudian, hotel dan resort berkata, pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan perancangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 – Berita harian