IPOH: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengangkat sukan elektronik (eSports) selaras dengan sukan-sukan konvensional serta sukan teras yang lain di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak, R. Nanthakumar berkata, kebanyakan anak muda Malaysia berjaya di peringkat antarabangsa dalam eSports khususnya Fifa Online dan Dota.

“Penggiat eSports bukan berakhir sebagai ‘gamers’ semata-mata tetapi mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan baru yang lain seperti Commentator, Coach, Team Manager, Production Team, Analyst Emcee, Talent Manager, Brand Ambassador, Spokesperson dan sebagainya.

“Ia juga melahirkan atlet-atlet berdaya saing dan mengharumkan nama negara, selain menjana pendapatan penuh dan sampingan anak muda serta ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan itu susulan ketetapan Parlimen Belia Malaysia yang meluluskan empat usul untuk dibawa ke Kabinet, termasuk usul yang berbunyi “Bahawa Persidangan mengambil ketetapan agar Kerajaan Malaysia memperkasa & memartabat Sukan Elektronik (eSports) bagi generasi muda menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50)”.

Usul itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin pada sidang kedua Parlimen Belia Malaysia yang berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Oktober lalu.

Sementara itu, Nanthakumar juga menegaskan, belia berumur 18 tahun ke atas khususnya mahasiswa menjadi pilihan utama kerana mereka lebih matang dan bijak menguruskan masa.

“Mengikut kajian Malaysia berada di tangga pertama mengungguli negara Asean lain dalam pencapaian terbaik eSports di bawah ‘Asean Confederation For eSports’.

“Sudah tiba masa untuk kerajaan memandang serius akan eSports yang memberi peluang baru kepada anak muda dan seterusnya menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong sepenuhnya hasrat anak muda serta pembangunan sukan Malaysia,” ujarnya.

PhotoGrid_1495810485200