IPOH : Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung kes ugutan bunuh diterimanya beberapa hari lalu.

Menurutnya, keterangan tersebut diberikan di Balai Polis Sungai Senam di sini berkaitan laporan polis yang dibuatnya dan satu lagi laporan polis berkaitan ugutan tersebut di Balai Polis Teluk Intan.

 

Beliau turut difahamkan bahawa individu yang memberi komen dengan ugutan bunuh itu telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.

“Apa yang saya nak kongsikan sebagai rakyat Malaysia agar kita berhati-hati memberi komen yang boleh mendatangkan kesalahan kepada diri kita dan bakal menyebabkan kita boleh diambil tindakan undang-undang. Dalam masa sama boleh menyebabkan seseorang itu dipenjarakan, didenda dan boleh hilang punca pendapatan serta hilang kerja.

“Saya menasihati semua rakan media sosial berhati-hati memberikan komen dan kita sebagai rakyat Malaysia haruslah mengambil sikap yang matang walaupun kita berbeza fahaman politik jangan ia menjejaskan kepada diri kita sendiri. Sayangi diri kita dan keluarga kita,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di dalam Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Amanah Nasional turut meminta maaf kerana terpaksa mengambil tindakan tersebut untuk memberi pengajaran dan peringatan pihak lain supaya berhati-hati memberikan komen di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengenai tangkapan individu tersebut.

Pada 14 Disember lalu, Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan berhubung satu komen ugutan bunuh yang ditulis di ruangan komentar Facebook milik Hasnul Zulkarnain beberapa hari yang lepas.

Menerusi laporan tersebut, pihaknya meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya supaya menjadi iktibar kepada masyarakat.