IPOH: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, bulan lalu.

Choo Kiong, 49, bagaimanapun apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berumur 23 tahun antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Desa Meru 2, Meru Desa Park, Bandar Meru Raya, Ipoh.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Pasukan pendakwaan dibarisi tiga Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

 

Pihak pembelaan pula dibarisi peguam Ram Karpal Singh, RSN Rayer, Leong Cheok Keng dan Farhan Sapian.

Pihak pembelaan memohon kes tersebut ditangguhkan bagi membolehkan siasatan dakwaan kononnya individu yang membawa mangsa membuat laporan polis menerima RM100,000 dan diugut dengan sepucuk pistol untuk tidak membongkar rahsia tersebut.

Ini kerana ia mungkin satu konspirasi yang dirancang untuk menjatuhkan imej anak guam dan perkara ini tidak boleh dibiarkan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim memutuskan agar kes itu diteruskan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September bagi pengurusan kes.