IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Perak (PERAK).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong menang tanpa bertanding bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sempena Kongres Tahunan PAFA kali ke-60 di Hotel Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Ahli perniagaan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah pula dipilih sebagai Timbalan Presiden, juga tanpa pertandingan.

Bagi jawatan Naib Presiden pula dimenangi Datuk Mohd Yadzan Mohammad, Abdul Aziz Yeop Jamaludin dan Datuk G. Irunathan

Sembilan orang dipilih sebagai Ahli Majlis PAFA bagi penggal 2018 – 2021.

 

Mereka ialah Mohd Reduan Amir Hamzah, Zainal Anuar Abdul Rashid, Megat Amerudin Megat Danian, Joharudin Johar Ali, Mohd Najib Mohd Mokhtar, Mahhade Ramlee, Wan Fadzli Izam Wan Zulkifli, Mohd Suder Satimin dan Hairul Anwar Mohamed Noor.

YB Hasnul Zulkarnain di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepad kepimpinan PAFA yang lalu kerana telah melakukan beberapa penambaikam, termasuk meletakkan pasukan utama negeri di tangga kedua Liga Super.

“Kedudukan kedua ini adalah satu pencapaian yang cemerlang dan cabaran bagi saya dan barisan kepimpinan baru ialah untuk mengekalkannya,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama sokongan semua pihak, termasuk ahli gabungan dan penyokong untuk bersama-sama memastikan kesinambungan kecemerlangan bola sepak Perak.

“Saya berharap kita jangan membawa budaya politik di dalam persatuan sukan, berilah teguran yang membina dan janganlah rosakkan persatuan semata-mata untuk kepentingan peribadi,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, YB Hasnul Zulkarnain berkata, beliau juga akan membuat beberapa pembaharuan, termasuk di kalangan pemain dan pengurusan.

Di samping itu, kata beliau, selaras dengan pengumuman Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu untuk mengurangkan penajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak, pihaknya akan berusaha mencari korporat untuk melabur di dalam pasukan Perak.