IPOH: Exco Perak, Razman Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat selepas gambarnya tular di media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong, petang Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil itu berkata, ia adalah suatu
kekhilafan.

Bagaimanapun, katanya, pencerahan itu bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Untuk makluman saya setiap hari bergerak untuk membantu fronliners, Alhamdulillah dapat membantu serta merta sebarang kekurangan peralatan yang dihadapi frontlines terutama kepada petugas kesihatan.

“Setiap malam petugas kami menghantar makanan bermasak kepada petugas sekatan jalanraya disekitar Bagan Serai khususnya,” katanya dalam laman Facebook hari ini.

Beliau memberi contoh, jika tidak turun padang mana mungkin dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalanraya amat mendesak.

“Dalam setiap tindakan, kami amat titik beratkan perihal SOP dan sekiranya ada tindakan kami yang dilihat melanggar SOP insha Allah kami akan atasi,”

Sehubungan itu beliau mengajak semua pihak bersama terus berdoa semoga ujian COVID-19 dapat meningkatkan iman dan bertambah sayang kita rakyat Malaysia dengan kerajaan Perikatan Nasional ini.

Pada Sabtu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengambil keterangan seorang Exco kerajaan negeri bersama beberapa individu selepas gambar mereka tular di media sosial menghadiri jamuan bersama seorang timbalan menteri di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.

Menurutnya, polis akan memanggil individu terlibat berdasarkan penelitian gambar yang tular, hari ini (Ahad).