LUMUT : Tidak perlu tekan, hanya pijak pedal sahaja. Inovasi alat pemegang ‘hand sanitizer’ yang diperkenalkan oleh Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ini antara inisiatif untuk mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

 

Tambah menarik apabila alat yang dinamakan EZ Sanitizer ini berjaya dihasilkan hanya dengan menggunakan barangan terpakai seperti paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan papan tanda lama serta skru, dengan modal keseluruhan pula serendah RM 30.

 

Menurut Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh, sebanyak 11 unit alat pemegang hand sanitizer telah disiapkan dalam tempoh masa enam jam oleh pekerja mahir dari Unit Landskap, MPM.

 

“‘EZ Sanitizer’ itu dihasilkan empat kakitangan Unit Landskap MPM, sekali gus menjadikan MPM sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak mencipta alat tersebut.

 

“Inovasi ini bagi memudahkan para petugas barisan hadapan untuk membersihkan tangan dengan menggunakan hand sanitizer dan seterusnya dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

 

“Petugas dapat menggunakan ‘hand sanitizer’ dengan selamat tanpa terus menyentuh botol sebaliknya menekan pedal dengan kaki untuk mengeluarkan cecair itu,” katanya selepas majlis penyerahan alat tersebut kepada pejabat cawangan MPM di Bangunan MPM, di sini, pada Ahad.

 

Katanya, sebanyak 11 unit EZ Sanitizer yang boleh diselaraskan mengikut saiz botol ini telah diagihkan dan Unit Landskap dijangka akan menyiapkan beberapa unit lagi untuk diletakkan di pasar-pasar awam sekitar daerah Manjung.

 

“Untuk peringkat awal, kami meletakkan alat berkenaan di pejabat dan lima pejabat cawangan MPM di sekitar Manjung selain kawasan tumpuan anggota bertugas,”katanya lagi.