IPOH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 merupakan Menteri Besar kedua yang dilantik sebanyak dua kali.

Sebelum ini Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi pernah menjadi Menteri Besar Perak kedua dari 1 Ogos 1957 hingga 16 April 1960.

Beliau sekali lagi menjadi Menteri Besar keenam dari 4 September 1974 hingga 1 Oktober 1977 dan pernah menjadi Menteri Pertanian Malaysia (1970-1974).

Ahmad Faizal pula dilantik menjadi Menteri Besar Perak ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 12 Mei 2018.

Beliau kemudiannya meletakkan jawatan pada 10 Mac 2019, selari dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Hari ini, Pengerusi Bersatu Perak itu dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di bawah pentadbiran kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja Perak, Kolonel (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor berkata ia selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan atas pelantikan tersebut.

“Berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada pertimbangan Baginda, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ahli Dewan Negeri Chenderiang, mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Nazrin turut menetapkan supaya Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak Darul Ridzuan diadakan jam 3 petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terbubar selepas Ahmad Faizal melepaskan jawatan Menteri Besar Perak ke-12 pada 10 Mac lalu.

Sehari sebelum itu, PN mengumumkan mempunyai majoriti 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus memberi laluan kepada mereka membentuk Kerajaan negeri Perak yang baharu.

Ia merangkumi 25 kerusi Barisan Nasional, empat kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga kerusi Pas.