KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengintai peluang untuk menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium demi manfaat bersama kedua-dua pihak.Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata cadangan kerjasama itu disuarakan Duta Besar Belgium ke Malaysia Pascal H.

Gregoire yang mengadakan kunjungan hormat ke Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini pada Selasa.

Beliau, pada masa sama, memaklumkan Gregoire turut memuji keberanian FAM meneruskan agenda penswastaan sebagai antara usaha mentransformasi saingan bola sepak tempatan.

“Kami berkongsi pandangan selain berbincang mengenai potensi kerjasama antara dua negara, apatah lagi kita maklum Belgium menduduki ranking teratas FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), sekalipun memiliki jumlah penduduk hanya 11 juta.

“Kami juga menimbang kemungkinan mengadakan program kemasyarakatan sebagai usaha mempromosi kedua-dua negara ke audiens masing-masing,” jelas Hamidin menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook FAM.

Berdasarkan kedudukan terbaharu ranking FIFA, Belgium berada di tangga pertama dengan kutipan 1,773 mata, manakala Malaysia menduduki tangga ke-154 dunia setelah mengutip 1,040 mata.– BERNAMA