SITIAWAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) optimis mencapai sasaran nilai jualan RM1 juta sebulan bagi Pasar Tani Kekal (PTK) Lekir yang mula beroperasi 9 September lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Mansor Omar berkata, PTK Lekir berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM400,000 selepas 20 hari dibuka kepada orang ramai.

“Ini satu permulaan yang baik bagi Fama kerana baru sahaja 20 hari beroperasi kita berjaya mencatat nilai jualan sebanyak itu dan kami yakin sasaran jualan RM1 juta sebulan bagi PTK Lekir ini dapat dicapai untuk bulan seterusnya.

“Bagi memastikan sasaran ditetapkan berjaya dicapai, Fama akan mengadakan promosi dan penganjuran acara melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat swasta di PTK Lekir untuk menarik pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas Program My Best Buy sempena ulang tahun Fama ke-53 di PTK Lekir, di sini, hari ini.

Menurut Mansor lagi, setiap syarikat mempunyai program tanggungjawab sosial korporat yang boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan Fama di tapak PTK Lekir.

“Kita boleh buka ekspo jualan seperti barang keperluan, produk makanan dan peralatan sekolah di dataran ini bagi menarik kedatangan pengunjung untuk meningkatkan nilai jualan bulanan PTK Lekir ini.

“Semua ini kita sudah jalankan di PTK seluruh negara dan ia memberikan hasil positif kerana itu kami yakin sasaran RM1 juta nilai jualan setiap bulan di PTK Lekir mampu dicapai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya akan membantu Fama menjalinkan kerjasama dengan syarikat besar pengeluar ayam, udang serta ikan di daerah ini.

“Manjung sudah ada sumber ayam, udang dan ikan yang diternak serta dikeluarkan di sini, jadi kita melihat jika kerjasama ini dapat dijalinkan antara Fama dan syarikat sudah pasti rakyat akan mendapat faedah.

“Ayam, ikan serta udang dapat dibekalkan kepada peniaga pasar tani dan mereka boleh menjual dengan harga lebih rendah kepada pembeli. Sudah pasti situasi ini membolehkan orang ramai sering berkunjung ke pasar tani dan PTK,” katanya – sinar