IPOH – PKR Perak mengesahkan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak merupakan antara tiga lagi individu ditahan polis semalam di Johor berkaitan kes video lucah yang mengaitkan nama seorang menteri kanan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran menegaskan, Farhash yang juga Setiausaha Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan bagi membantu siasatan dan bukan disabitkan sebagai pesalah dalam kes itu.

Menurutnya, PKR Perak sekali lagi menegaskan Farhash bukan tertuduh dalam kes penyebaran video intim yang turut membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan tiada kena mengena dengan kes itu.

“Penahanan Farhash tidak akan menjejaskan nama baik PKR Perak kerana ia hanya dianggap proses melancarkan siasatan polis.

“PKR Perak juga tidak melihat keperluan untuk Farhash bercuti daripada menerajui PKR Perak kerana dalam situasi ini, beliau bukan individu dituduh secara langsung terbabit dalam kes video intim tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Tinagaran berkata, PKR Perak turut menyifatkan tindakan polis menahan beberapa individu didakwa dalang menyebarkan video intim itu dan bukan si pelakunya seolah-olah menghantar mesej salah kepada masyarakat negara ini.

Menurutnya, tindakan sebegini menunjukkan seolah-olah mana-mana kejadian tidak bermoral tidak boleh dilaporkan dan ia boleh mengundang kemarahan rakyat.

“Saya bukan hendak menyokong perbuatan menyebar bahan pornografi, tapi dalam kes ini, video intim berkenaan lebih daripada sekadar sudut pornografi dan saya berpendapat polis tidak menyiasatnya pada sudut yang betul.

“Saya amat berharap kes siasatan berkaitan video intim berkenaan dijalankan dengan lebih adil untuk semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, Tinagaran menegaskan PKR Perak turut menafikan dakwaan konspirasi politik membabitkan Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari kononnya terdapat usaha menjatuhkan pemimpin itu untuk menukarkan jawatan Exco berkenaan kepada Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Menurutnya, kuasa pelantikan Exco Kerajaan Negeri adalah di bawah bidang kuasa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan PKR Perak langsung tidak pernah memberi cadangan untuk menukarkan mana-mana Exco dilantik.

“Sebarang dakwaan PKR Perak cuba ‘menekan’ MB Perak untuk menukar Exco Kerajaan Negeri adalah satu kenyataan bodoh kerana Datuk Seri Ahmad Faizal seorang amat wajar dan sentiasa arif dengan keputusan dibuat beliau.

“Dakwaan Farhash mengadakan empat kali pertemuan dengan MB Perak bagi membincangkan isu penukaran Exco Perak (Abdul Yunus) juga tidak masuk akal kerana sebagai seorang setiausaha politik kepada Presiden PKR, pastinya dia bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Faizal berpuluh kali lebih dari itu,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan seorang pemimpin politik negeri berusia 37 tahun itu ditahan bersama dua rakannya ditahan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah teres di Pasir Gudang, Johor.

Sejurus ditahan, ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor.

Kesemua mereka dijangka akan dibawa ke Bukit Aman selepas laporan tangkapan dibuat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan tangkapan berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

 

-SINARHARIAN