IPOH: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad akan membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R & D) di Felcra Nasarudin Belia di Bota Kanan, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pusat itu akan memainkan peranan utama di dalam memajukan industri pertanian dan perladangan, khususnya di negeri Perak.

Menurut beliau, pusat R & D itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, awal bulan depan.

Unknown3“FELCRA melihat Perak ini merupakan suatu negeri yang paling utama dan kita mengambil perkara ini amat serius untuk membangun bersama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Staff FELCRA Berhad Wilayah Perak bersama kepimpinan kerajaan negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri Perak diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad.

Zulkarnain memberitahu, pusat R & D itu memberi tumpuan kepada beberapa bidang, khususnya penghasilan benih-benih bermutu tinggi untuk ladang kelapa sawit, kelapa dan padi.

FELCRA mengusahakan 34,830 hektar tanah di Perak di mana 28,365 hektar adalah  tanaman kelapa sawit, 3,401 hektar getah dan 3,063 hektar lagi dengan tanaman padi.

Sejak 2013 hingga 2017, FELCRA di Perak telah mengagihkan lebih RM360 juta dividen kepada peserta, PPRT (RM36 juta), kerajaan negeri (RM59 juta), zakat padi (RM8 juta), cukai tanah (RM5 juta) dan CAC (RM4 juta).