KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) kecewa dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) melarang import minyak sawit dari syarikat itu bermula semalam, berikutan siasatan terhadap tuduhan bahawa ia menggunakan buruh paksa.

Dalam satu kenyataan, FGV hari ini menegaskan semua isu yang dibangkitkan telah menjadi bahan perdebatan umum sejak 2015 dan syarikat telah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan.

“Usaha FGV didokumentasikan dengan baik dan tersedia di domain publik. FGV kecewa kerana keputusan itu dibuat ketika FGV telah mengambil langkah konkrit selama beberapa tahun ini dalam komitmen kami untuk menghormati hak asasi manusia dan menegakkan piawaian pekerja.

“Malah, dalam kenyataan kami pada 26 September lalu, pelbagai tindakan telah dilakukan FGV untuk menghormati komitmen berkenaan,” katanya.

Laporan semalam menyebut Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menerusi Perintah Pelepasan Tahan (WRO), menyekat semua produk FGV apabila penyiasatan mendapati terdapat penggunaan buruh paksa.

Menurut jabatan itu, perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

FVG menjelaskan, dakwaan dikeluarkan CBP terhadap minyak sawit dan produk komoditi yang dihasilkannya adalah tidak munasabah.

Kenyataan itu menyebut, FGV sudah melaksanakan banyak usaha, antaranya memperkuatkan prosedur dan proses dalam pengambilan pekerja asing dengan menubuhkan empat pusat sehenti di dalam negara dan di negara sumber iaitu di India dan Indonesia.

“Melalui sesi orientasi ini, pekerja asing akan diberi penerangan pelbagai perkara termasuk syarat pekerjaan, skop dan cara pekerjaan, hak dan tanggungjawab, serta faedah pekerja.

“FGV juga menyediakan Garis Panduan dan Prosedur Pengambilan Pekerja Asing Yang Bertanggungjawab pada 2019, sesuai dengan piawaian antarabangsa dan akan terus memperkuatkan dokumen itu.

“Di bawah garis panduan itu, FGV sentiasa komited untuk menyediakan pembayaran berkaitan pengambilan pekerja asing iaitu meliputi tambang dan permit bekerja, visa, pemeriksaan perubatan dan insurans.

“Malah FGV turut menyemak semula kontraknya dengan agensi pengambilan pekerja asing untuk memastikan tidak ada bayaran lain yang dikenakan ke atas pekerja,” katanya.

FGV juga menjelaskan, pihaknya tidak terbabit dengan pengambilan pekerja berstatus pelarian kerana bermula 2020, hanya pekerja asing dari India dan Indonesia diambil menerusi proses yang sah.

Sehingga Ogos lalu, FGV mempunyai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja India, malah FGV juga tidak mengambil pekerja kontrak.

“FGV juga tidak mengamalkan penyimpanan pasport pekerjanya dan sudah memasang sejumlah 32,250 kotak keselamatan di seluruh 68 kompleksnya sebagai pilihan bagi pekerja asing untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.

“Di samping itu, FGV mempelopori pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai iaitu dompet elektronik (e-wallet) sejak Februari lalu untuk pekerja ladang yang dianggap lebih mudah dan efisien bagi menguruskan kewangan mereka.

“Bukan itu saja, FGV melabur sekitar RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerja dengan membina kediaman baru di ladang kami di seluruh negara, selain menyediakan faedah perubatan tahunan,” menurut kenyataan itu.

FGV juga melaksanakan Kod Tingkah Laku Pembekal (SCOC) yang menggariskan prinsip dan standard yang berkaitan dengan kelestarian; etika dan integriti perniagaan; keselamatan, kesihatan dan persekitaran; dan tenaga kerja yang mesti dipatuhi dan jika gagal, akan disenarai hitamkan.

“Justeru ingin ditekankan, FGV tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dan memberikan perhatian serius terhadap setiap tuduhan keganasan fizikal atau seksual serta intimidasi atau ancaman.

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, setiap kes seperti dinyatakan itu akan dilaporkan kepada pihak berwajib,” jelas kenyataan itu.