SHAH ALAM – Penyokong tegar pasukan bola sepak negara, Ultras Malaya hari ini mengumumkan tidak akan ke stadium bagi memberi sokongan terhadap perlawanan antara Malaysia menentang Thailand.

Menerusi kenyataan yang dipetik daripada laman Facebook UM07’, keengganan mereka untuk ke stadium adalah sebagai langkah solidariti terhadap pemain ke-12 iaitu rakan-rakan penyokong yang tidak dapat membeli tiket perlawanan akhir itu.

“Isu penjualan tiket tidak bersistem ini bukan isu baharu dalam dunia bola sepak di Malaysia, baik di Liga-M (Piala Malaysia) atau perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan negara bermain di separuh akhir atau perlawanan akhir, kekalutan akibat kelemahan sistem penjualan sering berlaku.

“Mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah harus sedar bahawa perubahan terhadap sistem itu perlu kerana jika tidak ia akan mendatangkan kerugian terhadap pasukan itu sendiri.

“Oleh sebab itu Ultras Malaya mengambil keputusan bersolidariti untuk semua pemain ke-12 yang bukan sahaja menjadi mangsa atas kelemahan ini di Sukan SEA saja tetapi bagi semua yang telah menjadi mangsa kerakusan ini dalam setiap kegagalan sistem jualan itu baik di Liga-M atau perlawanan lain,” jelas kenyataan itu.

Menurutnya, sampai bila isu tiket ini harus dihadapi oleh pasukan penyokong.

“Kita adalah antara nadi kepada sukan ini, dah 2017, perkara ini masih berlaku, setiap kali dalam bola sepak Malaysia baik di Liga-M atau perlawanan antarabangsa.

“Anda mungkin kata apa kaitan Liga-M dengan Sukan Sea, penganjur lain-lain, ya memang tiada kaitan bagi anda, tapi bagi kami ia melibatkan kami selaku penyokong dalam ‘scene’ bola sepak Malaysia.

“Ultras Malaya berharap agar semua pihak yang berwajib dan berkaitan membuka mata terhadap isu ini untuk kelangsungan dan kemudahan buat penyokong di masa hadapan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Ultras Malaya berharap semua pihak berwajib agar belajar daripada apa yang berlaku dan bersedia untuk melakukan perubahan untuk Liga Malaysia dan perlawanan antarabangsa yang lain.

“Bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan selaku kementerian yang terlibat dengan sukan boleh kiranya menjalankan tanggungjawab untuk memberi penekanan terhadap perkara ini di masa hadapan.

“Kepada yang kata Ultras Malaya merajuk, fahami isu yang cuba disampaikan dengan betul.

“Kepada yang mengatakan Ultras Malaya kebudak-budakan dan sebagainya, kita harap anda selaku orang dewasa yang matang dan intelektual sokonglah Malaysia dengan sepenuh hati, dan gunakanlah kemahiran intelektual anda untuk memahami isu ini,” katanya.

Semalam, penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea ke-29 dicemari insiden rempuhan apabila ada sebahagian penyokong yang memotong barisan.

Keadaan tegang itu juga dikatakan berpunca daripada kelemahan sistem penjualan tiket yang kurang sistematik di mana hanya lima kaunter yang dibuka untuk jualan, tidak seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, 20 kaunter akan dibuka.

Peminat dan penyokong sudah beratur seawal jam 8.30 malam sebelumnya hanya untuk membeli tiket.

Ada juga antara mereka yang membawa tikar, bantal serta makanan untuk mengalas perut sementara menunggu kaunter dibuka.

-SinarHarian