IPOH: Kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan lebih serius dan fokus terhadap pembangunan teknologi hijau selain pengupayaan tenaga boleh diperbaharui.

Menurut perwakilan Dewan Belia Perak, Zulfahmi Ahmad Saibi, kerajaan negeri wajar menjalankan kerjasama erat dengan Kementerian atau agensi kerajaan pusat seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

“Diharapkan kedua-dua pihak untuk duduk semeja berbincang dalam menjadikan Perak pada tahun 2050 sebagai negeri terulung dalam teknologi hijau dan sumber tenaga boleh diperbaharui kerana kedudukan kita yang strategik.

“Kita juga mempunyai kepelbagaian sumber alam untuk tujuan pengolahan sumber, perkara ini bukan lagi baharu bahkan telah dijadikan dasar oleh kerajaan melalui Dasar Teknologi Hijau 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan usul bertajuk Inovasi Merentas Transformasi Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui Ke Arah Sumber Pendapatan Baru Negara di Persidangan Dewan Belia Perak.

Sementara itu, beliau turut mengusulkan supaya menguatkuasakan polisi berkaitan Teknologi Hijau ke atas kilang-kilang demi mematuhi piawaian alam sekitar.

“Antara langkah lain untuk mengelakkan ancaman pencemaran ialah membudayakan ‘crowdfunding’ dalam menghasilkan ciptaan teknologi atau aplikasi yang dapat membantu kita dalam kehidupan seharian

“Sekiranya pelbagai hasil kajian telah dijalankan oleh pihak universiti dikomersilkan maka kita tidak perlu lagi crowdfunding ini yang dibiayai oleh orang awam, di mana mereka sanggup mengeluarkan sumbangan dana bagi membantu pereka cipta tempatan,” ujarnya.