LENGGONG : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan hanya gabungan parti yang dapat membuktikan mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 30 kerusi boleh membentuk kerajaan di Perak.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dititahkan ketika beliau mengadap baginda di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya, ketika pertemuan itu, beliau hanya menyampaikan pandangan dan pendapat daripada blok pembangkang, tanpa memberi apa-apa tekanan terhadap baginda.

“Kita tunggulah sebab saya yakin baginda Sultan Perak akan gunakan lunas undang-undang yang betul untuk melihatkan siapa yang ada kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan.

“Mudah sahaja di Perak ni, mana-mana gabungan yang boleh buktikan kita ada sekurang-kurangnya 30 kerusi kepada baginda Sultan, maka sudah tentu baginda akan panggil dan beri kepercayaan kepada gabungan itu,” katanya.

Beliau ditemui semasa majlis resepsi pernikahan anaknya di Lenggong pada Sabtu.

Menurut Saarani, setakat ini Muafakat Nasional di Perak mempunyai 28 kerusi dan beliau percaya kerajaan Pakatan Harapan telah runtuh kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) isytihar keluar pakatan itu.

Katanya, mereka tidak terburu-buru dan bersabar menunggu perkembangan yang berlaku di peringkat persekutuan dan akan akur apa yang diputuskan nanti.

“Apa yang penting mereka mahu sebuah kerajaan yang sah dan majoritinya tidak boleh dipertikaikan, lebih-lebih lagi bagi menghadapi Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan 14 April depan,” ujarnya.

Mengulas dakwaan wujud usaha menarik sokongan kalangan wakil rakyat Pakatan Harapan, Saarani berkata, pihaknya tidak pernah memberi apa-apa tawaran atau mengadakan rundingan bagi tujuan itu.

“Tiada kenyataan rasmi daripada UMNO berhubung perkara itu dan kita sendiri tidak pernah menghubungi atau berunding dengan mereka, jika ada yang menyatakan demikian, saya sahkan ia tidak benar,” tegasnya.

Pada Rabu, ADUN Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa telah dihubungi seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang merupakan seorang bekas Exco Kerajaan Perak untuk menyertai parti itu dan menyokong pembentukan sebuah kerajaan negeri baharu.