KOTA KINABALU: Seorang gadis berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Luyang di sini, sejak kelmarin, meninggalkan nota kepada keluarga menyatakan mahu mencari ketenangan.

Remaja terbabit, Ngok Xin Yee disedari hilang selepas ibunya mendapati anaknya itu tiada di rumah dan menemui nota itu ditinggalkan di atas meja di rumah itu.

Susulan itu, keluarga gadis terbabit membuat laporan polis, semalam, bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan anak mereka.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati keluarga terbabit sudah mencari remaja itu di rumah rakan sekolahnya, namun mereka tidak menemui sebarang maklumat.

“Remaja itu dipercayai keluar dari rumah tanpa membawa kad pengenalan dan telefon bimbit, namun membawa beberapa helai pakaian menggunakan beg sekolahnya.

“Kali terakhir dilihat ibunya, remaja itu memakai baju berwarna putih dan berseluar pendek hitam,” katanya.

Difahamkan, remaja terbabit sudah kali ketiga keluar dari rumah tanpa kebenaran, namun dalam dua kejadian sebelum ini dia pulang ke rumah dalam tempoh 24 jam dan tiada laporan kehilangannya dibuat kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra mengesahkan kejadian itu dan pihaknya dalam usaha mencari remaja terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menemui orang hilang ini, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohanaddas di talian 0164414939 atau balai polis terdekat,” katanya – berita harian