IPOH – Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju Blair Education Services Sdn Bhd untuk mendapatkan maklumat berkenaan tanah seluas 101 hektar di kawasan Gua Tempurung yang gagal dimajukan sebagai Premier International University yang dijangka siap pada tahun 2010 selepas menerima kelulusan pada tahun 2008.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata perbincangan dengan pemaju tersebut bagi membincangkan kelangsungan kerjasama bagi meneruskan pembangunan di tanah tersebut sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.

“Kelulusan tanah itu kepada Blair Education Services Sdn Bhd telah diluluskan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada 30 Januari 2008 untuk pegangan selama lima tahun.

“Apabila berlaku peralihan kuasa pada September 2008, tempoh pegangan ini telah dilanjutkan daripada lima tahun ke 99 tahun dan satu syarat telah diperketatkan,” katanya.

Beliau berkata syarat tersebut menggariskan agar pemaju dan pemohon mestilah memajukan tanah dalam masa 24 bulan daripada hak milik didaftarkan.

“Hak milik tanah ini pula didaftarkan pada 8 April 2010 dan apabila peralihan kuasa berlaku sekali lagi, kerajaan meneruskan pegangan hak milik kepada syarikat berkenaan,” tambah beliau.

Ahmad Faizal turut tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan semula tanah tersebut jika pemaju gagal membangunkan seperti yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Pangkor) pada persidangan hari ketiga mesyuarat kedua, penggal pertama Dewan Negeri yang ke-14 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang memaklumkan bahawa tanah tersebut masih belum dbangunkan dan kini dipenuhi tanaman haram yang melibatkan penanaman kelapa sawit dan tanaman dusun.

Menjawab soalan tambahan daripada YB Nga Kor Ming (Aulong) yang diwakili oleh YB R. Terence Naidu (Pasir Berdamar) Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan memperuntukkan tindakan undang-undang kepada pemilik tanah tersebut kerana didapati pihak itu gagal membayar cukai kepada kerajaan negeri sehingga kini.