PETALING JAYA: Polis meminta setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak segera tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kes rusuhan di Ampang pada 31 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, sehingga kini Farhash, yang merupakan suspek utama dalam kes berkenaan, masih gagal dikesan pihak berkuasa.

“Pada 4 Sept, lebih kurang 11.40 pagi, 3 orang saspek menyerah diri di Ibu Pejaba Polis Daerah Ampang Jaya. Saspek terdiri daripada 2 orang lelaki Melayu berumur 35 tahun dan 28 tahun dan seorang lelaki India berumur 26 tahun.

“Mereka bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai. Ketiga-tiga mereka akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, salah seorang daripada suspek Melayu tersebut mempunyai beberapa rekod dadah dan jenayah, serta disenaraikan sebagai individu dikehendaki oleh IPD Cheras berkaitan kes dadah.

Polis sebelum ini memaklumkan, kejadian itu berlaku di sebuah kompleks sukan di Taman Dagang Permai dan melibatkan lebih kurang 12 ke 14 orang.

Fadzil berkata, seorang pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.

Terdahulu, Farhash dalam kenyataan mendakwa laporan polis yang dibuat adalah ke atas adiknya.

“Saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu,” katanya.