GERIK: Seekor gajah jantan liar dilaporkan berkeliaran di sekitar hentian Rehat dan Rawat (RNR) Titiwangsa Gerik dan cuba memasuki kedai berhampiran untuk mendapatkan makanan.

Menurut kenyataan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada Isnin, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam semalam itu disedari oleh orang awam yang berada di kawasan terbabit.

Ujarnya, hasil maklumat daripada pemilik kedai memaklumkan gajah liar itu sudah berkeliaran di kawasan sekitar RNR Titiwangsa sejak beberapa hari lalu.

Selain itu, hasil maklumat daripada anggota polis dari Balai Bersia memaklumkan gajah liar tersebut telah menjatuhkan tong sampah di kawasan sekitar dan cuba untuk masuk ke kedai untuk mendapatkan makanan.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku pada orang awam atau kerosakan kenderaan.

Pemantauan telah dijalankan di lokasi kejadian pada jam 10.15 malam semalam dan mendapati gajah tersebut telah bergerak ke kawasan lain.

Sehubungan itu, kakitangan Perhilitan Gerik telah digerakkan untuk memantau kawasan sekitar dari masa ke semasa bagi memastikan ia selamat dari sebarang ancaman gajah liar.