GERIK: Lima individu bernasib baik sempat menyelamatkan diri apabila kereta yang mereka naiki dipijak seekor gajah berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwanga, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira dua kilometer selepas R&R itu menghala ke Gerik.

Ia berlaku sekitar jam 7 malam ketika kereta mangsa berhenti apabila terlihat gajah berkenaan di tengah jalan.

Bagaimanapun, gajah itu dikatakan terkejut selepas sebuah kenderaan lain membunyikan hon, lalu memijak bonet kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood mengesahkan kejadian itu tetapi memberitahu ia tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Menurutnya, ekoran kejadian itu, kereta mangsa mengalami kerosakan kecil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya telah menghantar kakitangan ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

Beliau menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.

“Jangan bunyikan hon atau paling penting jangan cuba menghalau gajah berkenaan,” katanya.