KUALA LUMPUR – Malaysia adalah antara negara yang menawarkan pembayaran gaji minima paling tinggi kepada pekerja jika dibandingkan dengan negara Asia lain.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, gaji minima yang ditetapkan di negara ini adalah RM1000 untuk pekerja di semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

“Kita adalah negara yang menetapkan pembayaran gaji minima kepada pekerja dengan nilai yang cukup baik.

“Di Myanmar, gaji minima yang ditetapkan adalah RM348, Laos RM479, Kemboja RM629, Philipina RM909, Indonesia RM382 dan Vietnam RM600,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin), di Dewan Rakyat, semalam.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kedatangan pekerja asing yang tidak terkawal menjadi antara faktor kesukaran untuk meningkatkan gaji minima pekerja negara ini.

“Kira-kira 1.9 juta pekerja asing berada di negara kita yang turut menerima gaji minima yang ditetapkan di negara ini. Dalam soal ini kita tak boleh kecualikan mereka kerana kita boleh dikenakan tindakan.

“Disebabkan itu, sudah tentu banyak nilai kewangan negara ini digunakan pekerja asing untuk dibawa keluar negara dan itu tidak termasuk faedah-faedah lain yang mereka terima.

“Seperti mana yang telah dinyatakan Kementerian Kewangan baru-baru ini, lebih RM3.7 bilion wang negara dikeluarkan oleh pekerja asing ke negara-negara mereka,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan pekerja tempatan supaya menguasai industri sekali gus mengambil alih tempat pekerja asing dalam memperkukuhkan ekonomi negara.

“Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diuar-uarkan perdana menteri sebelum ini adalah usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan pertambahan bilangan pekerja tempatan.