CHEMOR – Lebih kurang 300 pemandu teksi di Perak mengambil langkah proaktif dengan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Perkeso.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, jumlah itu amat sedikit berbanding 1,900 pemandu teksi yang telah didaftarkan di seluruh negeri.

“Skim ini dapat memberi perlindungan kepada pemandu teksi mahupun kereta sewa dan perkhidmatan seumpamanya yang dapat memberi jaminan keselamatan sosial lebih baik.

“Pencarum bakal menikmati pelbagai faedah termasuk perubatan, hilang upaya sementara, faedah pemulihan dan lain-lain lagi termasuk orang tanggungannya yang akan diuruskan oleh Perkeso,” katanya.

Terdahulu Hang Soon menyampaikan cek kepada Mohamad Helmi Hashim, 46, di kediamannya di Taman Chemor Mesra, di sini, semalam.

Mohamad Helmi patah tiga tulang rusuk selepas teksi yang dipandunya terbabas di susur keluar Tol Jelapang, Lebuh Raya Utara Selatan pada 9 Disember tahun lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Aman Jaya telah mencarum pada 24 Ogos 2017 hilang upaya sementara dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Keselamatan Sosial Pekerjaan Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya akan meningkatkan usaha untuk menggalakkan pemandu teksi di seluruh negara agar mencarum dengan Perkeso.

“Kita akan menjalinkan kerjasama dengan persatuan pemandu teksi setiap negeri dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan kesemuanya mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.

“Dalam tempoh enam bulan tahun lalu, hanya 2,400 pemandu teksi dan pengendali perkhidmatan e-hailing telah berdaftar berbanding 100,000 orang yang direkodkan dibawah SPAD,” katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan semua pemandu teksi mendaftar supaya kebajikan mereka dan keluarga dapat dilindungi melalui caruman minimum RM157 setiap bulan. -Sinar