KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) merancang akan menghantar memorandum kepada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meminta supaya baginda mempertahankan kedaulatan tulisan Jawi daripada pihak yang cuba merosakkan warisan negara.

Bagaimanapun, pada masa ini gabungan itu mahu mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat terlebih dahulu di atas kebiadapan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang cuba menolak pengajaran tulisan Jawi, kata Presidennya, Saifullah Baiduri.

Beliau berkata, Gamis amat kecewa dengan tindakan Dong Zong yang sekali lagi cuba memporak perandakan perpaduan kaum dengan menyemarakkan sikap anti-nasional dalam kalangan masyarakat Cina terutamanya apabila NGO itu cuba mengadakan himpunan anti Jawi pada 28 Disember lalu.

“Tindakan Dong Zong secara jelas bertentangan dan menyalahi Akta Pendidikan 1996, juga bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang menyatakan tulisan bahasa kebangsaan adalah tulisan Jawi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Himpunan Aman Bangkit Pertahan Jawi:Haramkan Dong Zong di sini hari ini.

Kira-kira 400 mahasiswa universiti menyertai himpunan aman berkenaan yang diadakan di perkarangan kompleks beli belah Sogo dan berlangsung selama sejam.

Himpunan tersebut turut dihadiri beberapa NGO termasuk wakil pimpinan PAS.

Dalam perkembangan sama Saifullah menegaskan, gabungan itu turut menuntut empat perkara yang antara lainnya mahu supaya Dong Zong diharamkan kerana sering mengganggu perpaduan dan Perlembagaan.

Malah, Gamis turut menekankan agar Jawi diajar di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil kerana bertepatan dengan Perlembagaan yang menyatakan Jawi adalah sebahagian dalam Bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan sekaligus memupuk semangat perpaduan kaum.

Tambah beliau, Gamis turut menuntut supaya semua pihak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan seperi mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia.

Gamis juga katanya, mengajak semua rakyat memelihara dan menjaga perpaduan antara kaum dan agama serta mengecam pertubuhan pelampau seperti Dong Zong.

Pada masa sama Saifullah turut memberi amaran kepada Dong Zong atau mana-mana pertubuhan yang cuba menyentuh Perlembagaan Malaysia dengan tidak sama sekali meneruskan sebarang himpunan yang berbaur rasis.

DAP yang juga didakwa menjadi tulang belakang, kata beliau, diminta agar tidak mengkhianti Perlembagaan serta Majlis Raja-Raja kerana jika tidak pihaknya akan mengadakan himpunan mega rakyat untuk mendesak Dong Zong supaya diharamkan